Adab menjenguk orang sakit

Menziarahi orang sakit terutama yang mempunyai hubungan persaudaraan, jiran sekeliling, sahabat ataupun guru, sangat dianjurkan. Ziarah itu bukan saja menunjukkan rasa simpati, ambil tahu atau cakna, bahkan mempertautkan hubungan yang lebih rapat, sekali gus memperlihatkan kerukunan hidup yang manis dalam Islam.

Bagaimanapun, menziarahi orang sakit ada adabnya, bukan main terjah saja dan berikut adalah adabnya:

1. Tidak berkunjung pada waktu tidak sesuai untuk berkunjung, seperti pada masa orang sakit minum ubat, masa menggantikan pembalut luka, masa tidur.

2. Tidak terlalu lama (kecuali bagi orang mempunyai hubungan khusus dengan orang sakit).

3. Menundukkan pandangan (apabila di tempat itu ada wanita yang bukan mahramnya).

4. Jangan banyak bertanya dan hendaklah menunjukkan rasa belas kasihan.

5. Menimbulkan optimisme (hal positif) kepada orang sakit.

6. Menggalakkan bersabar, kerana sabar besar pahalanya dan melarang keluh-kesah, kerana keluh-kesah berdosa.

7. Tidak menyebut identiti diri secara tidak jelas, seperti mengatakan ‘saya’ tanpa menyebutnya nama sebenar.

8. Mendoakannya secara ikhlas.

Rujukan: Kumpulan Fatwa Yusuf Qardawi, 315-316